Main menu

  Profile

  Membership

  Activity

  Foto/Video Gallery

  Business Directory

  Exsas@news

  Exsas Personality

  Forum

  SEMSAS

  Exsas Eagles

  Contact Us

 


  

  

best view by

 

 

y

yahoogroups untuk

semua

bekas pelajar

semsas

 

 

 

 

 

Cabaran kendali SMART - Sudah ditutup 15 kali

pada tahun ini

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
 


 
SEMBUR... Petugas membersihkan terowong SMART selepas air banjir selesai dialirkan sebelum ia boleh dibuka semula untuk kegunaan trafik.

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Ramai warga kota yang mengeluh apabila Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) ditutup, malah mereka mendakwa penutupan itu sebagai punca kepada kesesakan lalu-lintas di sekitar ibu negara.

Walaupun penutupan terowong itu memberikan kesan kepada pergerakan trafik tetapi ia bukan satu-satunya punca kepada kesesakan, sebaliknya gabungan beberapa faktor menjadi pergerakan trafik tersekat.

Selain itu, warga kota juga perlu ingat bahawa tugas utama terowong itu adalah untuk mengalirkan air apabila hujan lebat di ibu negara bagi mengelak daripada banjir.

Trafik hanya boleh menggunakan terowong itu apabila ia tidak menjalankan tugas utamanya itu.

Namun, pengguna tetap merungut. Kata mereka, mengapa terowong itu perlu ditutup sehingga beberapa hari sedangkan hujan hanya turun sehari.

Bagi menjelaskan perkara itu, Utusan Malaysia dibawa melawat ke terowong itu untuk melihat apa yang berlaku apabila hujan lebat dan juga kerja-kerja membersihkan terowong itu selepas air disalurkan.

Ditemani oleh Pengurus Besar Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd., Mohd. Fuad Kamal Ariffin dan Penolong Pengarah Perhubungan Awam, Wan Azhar Wan Yeop, wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia diperjelaskan secara terperinci bagaimana SMART beroperasi.

Dibina dengan kos RM1.93 bilion dan mula beroperasi pada 1 Julai tahun lalu, terowong SMART merupakan terowong pertama di dunia yang dibina dengan laluan kenderaan dan saluran air.

Mempunyai jarak keseluruhan sejauh 11.5 kilometer tetapi hanya tiga kilometer sahaja digunakan sebagai laluan kenderaan.

Secara umumnya, tanggungjawab serta cabaran mengendalikan terowong SMART bukanlah satu perkara yang mudah.

Ketelitian dan pantas serta cekap bertindak adalah kunci utama kepada sebahagian besar kakitangan SMART bagi memastikan kelancaran pengurusan terowong itu.

Menurut Mohd. Fuad, orang ramai perlu memahami bahawa pihaknya bukan organisasi yang mengawal pengaliran air ke dalam terowong itu, sebaliknya ia tugas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Katanya, terowong itu adalah penghubung sistem pengaliran air yang diwujudkan antara Sungai Klang serta Sungai Ampang dan Sungai Kerayong bagi mengelakkan banjir.

"Kolam tadahan di Kampung Berembang mengawal pergerakan dan aras air di Sungai Klang, Sungai Ampang dan Sungai Gombak sementara kolam tadahan di Taman Desa, Jalan Klang Lama melakukan fungsi yang sama untuk Sungai Kerayong,'' katanya semasa meninjau bilik kawalan SMART.

Beliau berkata, pengaliran air di kedua-dua sungai tersebut diselia sepenuhnya oleh JPS sementara SMART hanya bertindak menunggu arahan membuka saluran ke dalam terowong itu.

Beliau berkata, apabila mendapat arahan untuk menyalurkan air, pihaknya akan terlebih dahalu memastikan segala sampah berbentuk pepejal ditapis sebelum air dilepaskan memasuki terowong.

"Sebab itu anda tidak nampak banyak sampah di dalam terowong apabila air sudah tiada kecuali sedikit lumpur di sana-sini," jelasnya.

Mohd. Fuad berkata, bagi mengenal pasti tahap operasi banjir, bacaan berdasarkan pengukur yang dipanggil cumec digunakan untuk menentukan kuantiti isipadu dan kelajuan pergerakan air.

Ia dibahagikan kepada tiga tahap amaran iaitu Mode 1, 2, dan 3 bagi memastikan pengurusan banjir dapat diurus secara sistematik dan cekap.

"Jika bacaan cumec berada di bawah 70, ia dikira sebagai Mode 1 dan trafik masih boleh berjalan seperti biasa, bacaan antara 70 ke 150 pula dipanggil Mode 2 dan air akan disalurkan menerusi laluan paling bawah.

"Untuk Mode 3, ia bermakna bacaan melebihi 150 dan seluruh terowong yang menjadi laluan kenderaan akan digunakan sebagai sistem saliran," katanya.

Beliau berkata, operasi menyalurkan air itu bermula dengan membuka pintu kawalan pertama yang mengawal dek bawah.

Katanya, air akan dibiarkan memenuhi dek bawah terlebih dahulu sebelum pintu kawalan kedua yang mengawal air di dek atas pula akan dibuka.

Dek bawah merujuk kepada laluan di arah TUDM Sungai Besi ke Jalan Tun Razak sementara dek atas bermaksud laluan yang bermula di Jalan Tun Razak.

Bagaimanapun, kata Mohd. Fuad, walaupun air sudah memenuhi keseluruhan terowong itu , ia tidak boleh dilepaskan terus ke Sungai Kerayong kerana sungai itu tidak mampu untuk menerima air dalam kuantiti tersebut.

Dalam kes seperti itu, kolam tadahan di Taman Desa akan memainkan peranan mengawal pergerakan air sebelum disalurkan di Sungai Kerayong yang diselia oleh JPS.

Difahamkan, pada masa kini, Sungai Kerayong tidak mempunyai kelebaran dan kedalaman yang mencukupi untuk menampung jumlah air yang banyak, namun ia dijangka akan dilebar dan didalamkan pada masa akan datang.

"Jika Sungai Kerayong boleh menerima kuantiti air yang banyak, maka proses pengaliran air menerusi terowong boleh dipercepatkan tetapi jika sebaliknya seperti sekarang ini, ia akan melambatkan proses terowong SMART dibuka semula," jelasnya.

Setelah kesemua air dikeluarkan, proses mencuci terowong akan bermula dan ia mungkin mengambil masa beberapa jam sehingga beberapa hari bergantung kepada tahap kekotoran.

Wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia turut berpeluang melihat proses pembersihan tersebut yang dilakukan secara manual.

Setelah proses membersihkan terowong itu selesai, SMART akan memanggil pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk melakukan pemeriksaan keselamatan sebelum dibenarkan membuka semula terowong kepada trafik.

Menurut Mohd. Fuad, orang awam perlu memahami fungsi utama terowong SMART iaitu satu sistem pengawalan banjir.

"Saya faham orang ramai selalu merungut apabila terowong SMART ditutup kerana dikatakan punca kepada kesesakan lalu-lintas tetapi kami di sini sebenarnya bertungkus-lumus untuk memastikan ia dapat dibuka secepat mungkin,'' katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini sahaja, sudah 15 kali terowong itu ditutup untuk operasi mengawal banjir dan ia jauh melebihi sasaran awal iaitu sebanyak dua hingga tiga kali sahaja dalam setahun.

Namun, katanya, terowong SMART telah membolehkan 45 peratus masalah banjir di ibu negara diselesaikan.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), JPS dan media memainkan peranan aktif bagi membantu pihak SMART menyalurkan maklumat kepada orang awam.

 

© 2006 EXSAS. Hakcipta Terpelihara.
Sebarang artikel dan komukasi di dalam laman web  ini tidak boleh diterbitkan semula tanpa kebenaran bertulis EXSAS. Semua mesej dan nukilan adalah hakmilik pengirimnya. EXSAS tidak bertanggungjawab terhadap kesulitan yang timbul berpunca daripada maklumat tersebut.

Laman web dibina dan diselenggara oleh eightyeightstudio.com dan teknikal oleh jengka.net