Main menu

  Profile

  Membership

  Activity

  Foto/Video Gallery

  Business Directory

  Exsas@news

  Exsas Personality

  Forum

  SEMSAS

  Exsas Eagles

  Contact Us

 


  

  

best view by

 

 

y

yahoogroups untuk

semua

bekas pelajar

semsas

 

 

 

 

EXSAS @ NEWS

TITIK NOKTAH PERJUANGAN

ALLAHYARHAMAH KAK SEHA  (1962-2006)

Oleh : news@exsas.com.my

 

SHAH ALAM, 12 Oktober 2006 

Rasanya baru semalam kami berbual ketika menziarahi beliau di kediamannya. Semangat kental jelas terpancar dari airmuka sambil menceritakan yang beliau berasa semakin selesa dengan rawatan yang sedang dijalankan. Namun, berita yang diterima pada pagi semalam, memaklumkan bahawa Kak Seha telah pergi menyahut panggilan Ilahi, sedikit sebanyak telah memberikan kesan kepada warga Exsas terutama adik-adik junior yang baru hendak mengenali beliau dengan lebih dekat lagi.

 

Mungkin sesetengah daripada kita tidak mengenali beliau, ataupun beliau mungkin lebih dikenali sebagai salah seorang artis di Malaysia, dan ramai  yang tidak mengetahui yang beliau adalah bekas pelajar SEMSAS. Hubungan Allahyarham dengan rakan-rakan 'batch' dan yang seangkatan dengan beliau amat baik sehinggalah beliau muncul ketika  Mesyuarat Agong Exsas kali ke 7 di Semsas pada awal tahun ini dan pada majlis tersebut beliau telah dipilih untuk menganggotai barisan exco Exsas bagi sesi 2006/2008. Namun, sumbangan beliau kepada Exsas tersekat mulai Ogos yang lalu apabila beliau telah disahkan mengidap kanser paru-paru. Selepas itu, bermulalah detik-detik yang amat menyukarkan bagi beliau dan juga keluarga tersayang.

 

Exsas berasa amat terharu kerana beliau telah mengizinkan gambarfotonya diambil untuk tatapan kita semua pada pertemuan 2 minggu yang lepas di kediamannya. Rasanya, inilah satu-satunya gambarfoto beliau yang terakhir dapat dirakamkan untuk disimpan sebagai tanda kasih dan kenangan untuk warga Exsas semua.

 

Pemergian Allahyarham Kak Seha amat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia amnya dan warga Exsas khasnya. Seluruh media cetak dan elektronik memaparkan kisah pemergiannya dan tidak kurang juga berita tentang sumbangan beliau terhadap industri seni tanahair sejak di zaman 80an lagi. Nostalgia beliau bersama kumpulan Freedom sedikit waktu dahulu terus dikenang dengan lagu-lagu hit mereka.

 

Walaupun hujan telah turun dengan lebatnya untuk beberapa ketika, namun Taman Kesuma Ampang telah menyaksikan begitu ramai sahabat dan kenalan Allahyarham, pihak media dan sebagainya, datang untuk memberikan perhormatan terakhir kepada beliau. Tidak ketinggalan juga warga Exsas yang terdiri daripada rakan-rakan 'batch' beliau, Presiden Exsas dan juga beberapa rakan dari 'batch' yang lain.

 

Jenazah Allahyarhamah Kak Seha telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mukim Ampang Satu, bersebelahan dengan Taman Kosas selepas waktu Zohor pada hari yang sama. Perjuangan Kak Seha terhenti pada ketika ini kerana Allah lebih sayangkan beliau. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman.

 

Warga Exsas mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Norseha Abu Bakar. Al Fatihah.

 

Ahmad Nasba (79)

"Selama 5 tahun saya bersama dengan Arwah di dalam satu kelas yang sama. Beliau seorang yang suka berkawan, ramai peminat dan tidak sombong. Gemar bertutur didalam bahasa Inggeris sejak di tingkatan satu dan amat dsayangi oleh guru. Namun kerjaya nyanyian beliau hanya bermula ketika beliau berada di ITM. Seorang artis yang berfikiran jauh kehadapan dan bijak, tidak hairanlah jika dunia hiburan tanahair amat terasa akan kehilangan beliau."

 

Ismail Abdullah (79)

"Beliau seorang penyanyi yang berada didalam kelasnya yang tersendiri, amat mementingkan kualiti didalam setiap persembahan nyanyiannya. Memberikan komitmen yang baik terhadap apa jua yang beliau lakukan."

 

Muhammad Imran Baharuddin (78)

"Pemergian beliau amat menyentuh perasaan warga Exsas dan juga rakyat Malaysia amnya. Seorang yang mempunyai semangat juang yang tinggi terutama ketika mengharungi detik-detik sukar melawan penyakitnya. Saya bersyukur dan amat terharu kerana berpeluang berjumpa dan bermesra dengan beliau beberapa hari sebelum beliau menyahut panggilan Ilahi."

 

 

 


.... news@exsas.com.my

 

© 2006 EXSAS. Hakcipta Terpelihara.
Sebarang artikel dan komukasi di dalam laman web  ini tidak boleh diterbitkan semula tanpa kebenaran bertulis EXSAS. Semua mesej dan nukilan adalah hakmilik pengirimnya. EXSAS tidak bertanggungjawab terhadap kesulitan yang timbul berpunca daripada maklumat tersebut.

Laman web dibina dan diselenggara oleh eightyeightstudio.com dan teknikal oleh jengka.net