|
EXSAS @ NEWS
LIGA RAGBI ALUMNI 2006
EAGLES TEMPA
SEJARAH
Perlawanan
akhir menemukan EXSAS EAGLES dan juara liga Perisai Shukri 2006, SMS
Old Boys (SMSOB). EXSAS turun sebagai pasukan jolokan 'giant killer'
selepas berjaya menumbangkan keegoan juara tahun lepas, High School
Klang Old Boys di peringkat separuh akhir manakala SMSOB bergaya
sebagai pasukan pilihan kejuaraan musim ini. 'Head-to-head'
menyaksikan SMSOB mengatasi EXSAS dengan satu kemenangan besar dalam
peringkat kumpulan di awal musim. Namun begitu EXSAS tetap turun
dengan semangat juang yang tinggi mencabar pasukan dari Cheras itu.
Nyanyian lagu 'SEMSAS hidup berjasa' menyemarakkan api semangat dan
lebih-lebih lagi dinyanyikan bersama-sama dengan penyokong EXSAS
yang turun menyaksikan perlawanan bersejarah ini. Ini merupakan
pentas final pertama EXSAS EAGLES yang belum sampai setahun
ditubuhkan selepas dalam kejohanan-kejohanan lain sebelum ini
terkandas di peringkat separuh akhir. Separuh masa pertama
menyaksikan EXSAS bertungkus lumus bertahan dari asakan SMSOB yang
nampaknya lebih berpengalaman dari segi permainan dan taktikal. Cuma
sesekali EXSAS berjaya mencuri peluang dengan melancarkan serangan
di barisan 'back' namun digagalkan oleh pertahanan mantap lawan.
Tekanan perlawanan akhir memberi sedikit impak kepada EXSAS yang
masih gagal mengawal permainan ditambah dengan kecederaan flanker
EXSAS, Talhah di pertengahan
permainan. Bago masuk menggantikan Talhah. Dalam kelam kabut
bertahan, SMSOB berjaya melakukan satu try cantik di penjuru kiri
hasil 'cross kick' dari stand-off berpengalaman mereka. Conversion
gagal disempurnakan. Try tersebut tidak mematahkan semangat EXSAS
yang berjaya menyempurnakan penalti dan merapatkan jurang mata
kepada 3-5. Penalti disempurnakan oleh Muhaimin (Tabla).
Walaubagaimanapun Tabla gagal menyempurnakan penalti kedua selepas
itu selepas tendangannya tersasar jauh dari gol. Tamat separuh masa
pertama EXSAS ketinggalan 3-5.
Bakhtiar masuk menggantikan Yien di separuh masa kedua yang jelas
menampakkan pengalaman SMSOB mengatasi keupayaan EXSAS. Dua try
berjaya dilakukan menjadikan mata 17-3 sebelum Kudin masuk
menggantikan Zaim yang mengalami kecederaan bahu. Suhail Amin (Bapak)
mengambil tempat Zaim di posisi No.8 dan Kudin terjun ke posisi 2nd
Row. SMSOB sekali lagi berjaya meloloskan diri dari pertahanan EXSAS
dan satu lagi try dilakukan menjadikan mata 22-3. Mata tersebut
kekal hingga wisel penamat dibunyikan. Dengan itu EXSAS terpaksa
berpuas hati sebagai Naib Johan Piala Perdana selepas tumbang kepada
SMSOB yang awal-awal lagi diramal berjaya menjadi juara berganda.
Tahniah diucapkan kepada para pemain yang menunjukkan permainan yang
menarik disamping mempamerkan semangat juang yang tinggi. Komitmen
pemain merupakan aset penting kepada kejayaan ke peringkat akhir
walaupun tidak sampai setahun ditubuhkan. Kekalkan momentum EXSAS
EAGLES di peringkat yang lebih tinggi.
Sekalung ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada EXSAS yang
memberi kepercayaan kepada kami membawa nama EXSAS di persada ragbi
tanahair. Terima kasih kepada Tuan Presiden EXSAS yang turun padang
sama-sama menyokong walaupun mempunyai jadual kerja yang agak ketat.
Terima kasih juga kepada Bro Qisan yang tidak putus-putus memberi
semangat kepada pasukan. Juga kepada orang-orang kuat EXSAS yang
turut serta memberi galakan dan juga kepada Team Penyokong EXSAS 94
dan 96 yang happening dan ahli-ahli EXSAS serta keluarga. Kehadiran
kalian amat dihargai.
Barisan pemain Final Piala Perdana Liga Alumni 2006.
01. Prop - CHAP
02. Hooker - MARO
03. Prop - YIEN (c)
04. Lock - KAPLA
05. Lock - BAPAK
06. Flanker - TALHAH
07. Flanker - BAD
08. No 8 - ZAIM
09. Scrum half - O.C
10. Stand off - A.C
11. Inside Centre - TABLA
12. Outside Centre - MAG
13. Right Wing - CHIN
14. Left Wing - BAR
15. Full back - IJAN
SUBS
01. BAGO masuk menggantikan TALHAH
02. BAKHTIAR masuk menggantikan YIEN
03. KUDIN masuk menggantikan ZAIM
Semoga EXSAS EAGLES akan terus berjaya pada masa akan datang.
TERUSKAN BERJASA, HELANG.
Yien & Kudin 96
Lagi berita di
http://exsaseagles. fotopages. com
dan
http://www.mru.org.my
|