You are here: Home News From The President - Misi 2009

Exsas - Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS Pahang

From The President - Misi 2009

E-mail Print PDF

 

Sudah agak lama saya tidak berkongsi pandangan tentang EXSAS dengan anda semua. Dalam kesegaran semangat Tahun Baru ini, mungkin ianya satu masa yang sesuai untuk kita sama-sama berbicara, berkongsi pendapat, sebelum seiring mengorak langkah menempuh cabaran 2009. Mudah mudahan juga segala perancangan serta aktiviti yang masih tertangguh dapat kita laksanakan bersama selepas ini. 

Sebelum itu, satu persoalan jangka panjang yang saya rasa amat penting untuk kita beri perhatian ialah samada hasrat  memperkasakan EXSAS sebagai satu alumni yang dinamik hanya impian segelintir ahli sahaja? Bukankah itu hasrat kita semua?

Jika jawapan kita ya dan jika kita ingin melihat EXSAS satu hari nanti dapat berdiri sama tinggi dengan MCOBA atau STAROBA, maka kita perlu berusaha dengan lebih gigih dari sekarang. Dan satu perkara yang pasti, semangat serta tanggungjawab membawa EXSAS ke hadapan bukan hanya terletak di bahu AJK, tetapi juga memerlukan peranan semua ahli dalam menerima hasrat dan tujuan persatuan. Tanpa komitmen kita semua, EXSAS tentunya tidak mampu menyerlah sebagai persatuan yang ternama. 

MCOBA dan STAROBA mungkin bukan ukuran kita pada masa kini. Dalam jangkamasa terdekat, mungkin lebih realistik jika kita menetapkan objektif menempatkan EXSAS sebagai yang terulung dikalangan alumni Sekolah Menengah Sains yang ditubuhkan pada tahun 1973, yakni yang sezaman dengan kita. Sehubungan dengan itu juga saya telah meminta Penolong Setiausaha untuk membuat penyelidikan tentang kewujudan dan pencapaian alumni-alumni ini untuk dijadikan perbandingan kepada kita.

Berbalik kepada perancangan EXSAS, beberapa program tidak dapat dilaksanakan kerana berbagai kekangan terutamanya dari segi kekurangan tenaga penggerak. Seharusnya jika dilihat dengan jumlah ahli yang kita ada, masalah sedemikian tidak wujud. Tapi inilah cabaran yang telah kita alami sejak sekian lama. Bukanlah suatu yang mudah untuk mendapatkan komitmen dalam menggerakkan tugas-tugas sosial sebegini. 

 

Suatu yang ingin saya kongsikan bersama ialah sepanjang 2008, beberapa orang AJK telah meletakkan jawatan. Ingin saya tegaskan di sini bahawa perletakan jawatan tersebut bukan atas sebab pergeseran antara AJK atau sebab-sebab negatif lain. Masalah utama yang dihadapi mereka ialah kesuntukan masa untuk diagihkan antara kerjaya, keluarga dan EXSAS. Ianya suatu yang sah dan wajar. Mungkin ada di antara kita yang akan mempertikaikan tindakan mereka.

 

Namun begitu kita harus faham bahawa EXSAS adalah badan sukarela yang tidak memberi sebarang pulangan. Keperluan dan tanggungjawab kita kadang-kadang menuntut kita membuat pilihan keutamaan. Lebih menyulitkan keadaan, iklim ekonomi yang tidak menentu sekarang juga menuntut masa dan fokus yang lebih bagi menjaga periuk nasi masing-masing terutamanya bagi mereka yang masih bertatih membina kerjaya serta kepada yang baru bergelar usahawan. Jikalau dahulu tidak terdengar cerita AJK meletakan jawatan hatta ramai yang gagal menghadiri mesyuarat sekali pun. Namun sekarang saya rasa lebih elok keputusan itu diambil oleh yang kesempitan untuk memberi ruang kepada pengganti meneruskan segala kerja yang telah dirancang.

 

Namun begitu, bukan mudah mencari pengganti kerana tidak ramai yang berminat dan sanggup. Jika diteliti, saban tahun, lebih ramai ahli yang tampil memohon sokongan EXSAS mendapatkan tempat untuk anak-anak memasuki SBP berbanding yang sudi menyumbang sebagai AJK. Itu angka statistik yang tepat. Kita juga masih gagal menarik minat ahli ahli yang telah stabil dari segi ekonomi untuk turut menyumbang sebagai AJK. Walaupun inilah golongan yang paling ideal untuk menggerakkan EXSAS sebenarnya. Sehingga kini, hanya muka-muka yang sama sanggup tampil tetapi jumlah mereka sedikit. Inilah yang benar-benar berminat dan komited, dan segala susah payah mereka ini sewajarnya mendapat penghargaan. Dengan itu, adalah diharapkan lebih ramai muka muka baru yang berkaliber dapat tampil ke hadapan demi meneruskan kesinambungan usaha kita selama ini.

 

Di sebalik kekurangan ini, pencapaian EXSAS tidak kurang membanggakan. Di peringkat SEMSAS, para guru dan pelajar memandang kita sebagai satu organisasi yang gah. Kita berjaya mempamerkan ketrampilan kepimpinan kita setiap kali berurusan dengan mereka. Setiap jemputan yang dipanjangkan kepada EXSAS tidak pernah dihampakan. Hasil interaksi dan ramah mesra berterusan antara warga SEMSAS dan wakil wakil EXSAS telah menjadikan kita role model kepada mereka.

 

Walau bagaimanapun, ini masih belum memadai. Kita perlu berusaha lebih lagi ke arah memperkasakan EXSAS agar kita mampu menyumbang kepada masyarakat dengan lebih aktif. Pastinya kita tidak mahu terkenal sebagai sebuah organisasi sosial yang sekadar menjadi saluran mendapatkan tempat anak anak ke SBP serta penganjur beberapa acara seperti boling dan AKSHAH. Kita juga tentunya tidak mahu menjadi alumni kelas dua untuk selama-lamanya.

 

Terkini, kita dalam proses menyiapkan laman web baru yang lebih interaktif dan mesra pengguna. Setakat ini, kerja kerja berkaitan agak tergendala kerana kurang bantuan dari ahli ahli walaupun telah dihebahkan. Kita terpaksa bergantung kepada rakan rakan yang tidak pakar tapi sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk membantu. Kewangan kita tidak mampu menampung khidmat tenaga profesional. Akibatnya, kerja yang sepatutnya boleh disiapkan dalam masa dua bulan tidak dapat dibereskan dalam tempoh enam bulan.

 

Setelah menimbangkan kekurangan kita, beberapa projek yang telah dirancang terpaksa ditangguh sementara dan fokus kita kini tertumpu kepada dua program utama sebelum Mesyuarat Agong 2009. Dua projek tersebut ialah menyiapkan laman web baru dan menganjurkan Kejohanan Golf Jemputan bagi menjana sumber kewangan.  Saya menyeru kepada semua ahli untuk tampil ke hadapan membantu EXSAS menjayakan kedua dua program ini. Yang paling penting kini ialah mendapatkan tajaan bagi pertandingan golf.

 

Dimaklumkan juga, kini terdapat kekosongan  kerusi AJK yang perlu diisi secepat mungkin. AJK yang sedia ada tidak mampu mengambil alih tugas tugas mereka yang telah meletak jawatan. Saya membuka ruang kepada anda yang ingin menawarkan diri segala sukarela. Sila berhubung terus dengan saya.

 

Kerjasama anda semua amat dialu alukan dan dihargai.

 

HIDUP BERJASA

 

Mohamed Mazlan Abd Razak

This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Last Updated ( Tuesday, 21 July 2009 23:58 )