UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU DARIPADA PRESIDEN EXSAS
Tirai 1429 Hijrah dan 2008 telah dilabuhkan. Muharam 1430 Hijrah dan Januari 2009 pula membuka lembarannya.
Sempena dengan kedatangan Tahun Baru ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan merenung sejauh mana kita telah berjaya mengubah hidup kita dalam tempoh setahun yang lalu. Kepada yang telah berazam baru, sejauh mana azam tahun lalu yang telah berjaya dan disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh? Harap tidak banyak yang tinggal hanya angan-angan kosong sahaja.
Semoga segala apa yang telah dilalui dapat dijadikan pelajaran dan pengajaran kepada kita untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik. Insyaallah. Tuntutan untuk melakukan perubahan yang menjurus kepada kebaikan adalah selari dengan ajaran Islam.
Di peringkat EXSAS, bagi membuka lembaran 1430H/2009, Jawatankuasa bagi sesi 2008-2010 dengan sukacitanya melancarkan satu laman web baru EXSAS. Ia sepatutnya akan menjadi lebih interaktif dan lebih mesra pengguna. Kerja-kerja seliaan dan penyelenggaraan juga sepatutnya akan menjadi lebih mudah. Sebagai medium perhubungan rasmi, ia diharapkan dapat melaksanakan peranan dengan sebaiknya bagi pihak persatuan untuk menghebahkan acara-acara rasmi yang dianjurkan serta maklumat-maklumat lain yang berkaitan. Saranan kepada semua ahli, sentiasalah mengunjungi laman web berkenaan sebagai melengkapkan hubungan dua hala antara persatuan dan ahli-ahli. Sebarang komen atau cadangan sangatlah dialu-alukan dan boleh ditujukan terus kepada pihak persatuan untuk tindakan lanjut. Juga sekiranya anda mempunyai kepakaran untuk lebih meningkatkan mutu laman web ini, pihak Jawatankuasa amat mengalu-alukan sumbangan anda. Beberapa aktiviti telah diatur oleh pihak persatuan untuk dilaksanakan pada tahun ini. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk terus memperkasakan hubungan antara ahli persatuan dan tidak ketinggalan untuk mengumpulkan dana bagi melicinkan lagi sebarang perancangan aktiviti persatuan di masa akan datang. Untuk itu, diharaplah ahli-ahli dapat memberikan komitmen yang jitu dalam menjayakan semua perancangan yang telah dibuat.
Dengan ingatan tulus ikhlas, saya selaku Presiden EXSAS mewakili semua AJK sesi 2008-2010 mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430 dan Selamat Tahun Baru 2009.
Wassalam.


