You are here: Home News Hoki Persahabatan: EXSAS (2) vs PetChem (2)

Exsas - Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS Pahang

Hoki Persahabatan: EXSAS (2) vs PetChem (2)

E-mail Print PDF

Oleh : Hamizah09 & Wan96

Bermula dengan usaha beberapa bekas pemain hoki SEMSAS menjayakan perlawanan reunion di Kuantan pada 26 Disember 2009 yang lalu, kini pasukan hoki EXSAS sedang mengalami suatu proses perkembangan yang sangat membanggakan. Pada 1 Mei 2010 (Sabtu) yang lalu bersempena dengan cuti Hari Pekerja, sekali lagi pasukan hoki EXSAS telah berjaya mengaturkan satu perlawanan persahabatan dengan pasukan PetChem, sebuah pasukan yang bernaung di bawah PETRONAS. Perlawanan siri ke-5 tersebut telah berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan. Perlawanan tersebut dianggap penting kepada kedua dua pasukan sebagai persediaan bagi menghadapi saingan Liga Kuala Lumpur bagi EXSAS dan Kejohanan Sukan Petronas bagi PetChem. Perancangan yang telah di buat hampir sebulan sebelum itu menyaksikan kedua dua pasukan turun dengan persediaan yang sempurna baik dari segi pengurusan pasukan mahupun persediaan pemain. Buat pertama kalinya, pasukan EXSAS turun dengan menyarung jersi rasmi pasukan yang baru berwarna oren; tampak garang dan berani.

Pada perlawanan tersebut, pasukan hoki EXSAS telah dibarisi oleh Cikgu Afifi, Saha93, Razak93, Zuki93, Khaidir93, Sol96, Bob96, Zai96, Wan96, Pyan96, Helmi97, Nasha00, Anip00, John00, Jeruk00, Darol00, Kudin01, Abu02, Nizam03 dan Syafarin03. Manakala pasukan hoki PetChem pula dibarisi oleh pemain pemain utama mereka termasuk Zaidi99. Semangat dan komitmen yang sangat tinggi ditunjukkan oleh pemain pemain EXSAS yang mana sebahagian daripadanya sanggup datang dari Johor Bahru, Kuala Terengganu, Muar, Melaka, Shah Alam, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Persaingan dalam perlawanan tersebut agak seimbang di mana kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Namun demikian, pasukan hoki PetChem telebih dahulu membuka jaringan pada minit minit akhir babak pertama. Jaringan tersebut telah mengejutkan para pemain EXSAS dari lamunan dan masing masing berusaha menyusun permainan bagi mencari gol penyamaan. Bermulanya babak kedua perlawanan, pasukan PetChem terpaksa mempertahankan gawang mereka apabila pasukan EXSAS dengan beraninya membalas serangan mereka khususnya menerusi gandingan Nasha00 dan Kudin01 bagi mencari gol. Usaha EXSAS membuahkan hasil menerusi dua jaringan padang oleh Kudin01. Namun demikian, pasukan PetChem berjaya menjaringkan gol penyamaan bagi membawa keputusan seri 2-2 sehingga ke akhir perlawanan. Keputusan seri ini menunjukkan pasukan hoki EXSAS mampu memberikan saingan yang sengit dalam pertandingan hoki Liga Kuala Lumpur yang dijangkakan bermula pada pertengahan Mei 2010.

Selepas perlawanan, para pemain telah bertekad untuk meneruskan latihan bagi meningkatkan stamina dan skil individu walaupun secara bersendirian bagi memastikan EXSAS mencapai kemenangan di perlawanan perlawanan yang mendatang. Disamping itu, Sol96 selaku Presiden penaja Kelab Hoki EXSAS telah mengumumkan pembentukan kelab tersebut yang bernaung di bawah EXSAS di mana struktur jawatankuasa penaja telah dibentuk dalam perbincangan yang diadakan pada jama 2.30 petang hari yang sama bertempat di kantin SEMSAS. Beliau juga mengumumkan laman Facebook EXSAS Hockey Club yang diasaskan oleh Hamizah09 dan juga laman web EXSAS sebagai medan untuk para pemain, penyokong dan warga EXSAS mendapatkan info terkini berhubung aktiviti pasukan dan kelab. Maklumat lanjut mengenai penubuhan kelab tersebut akan dimaklumkan melalui kedua-dua laman tersebut. Disamping itu, foto foto perlawanan yang telah dilalui oleh pasukan hoki EXSAS sehingga pelawanan terkini juga telah dimuat naik ke laman Facebook tersebut.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pemain EXSAS dan krew Kelab Hoki EXSAS. KITA maju setapak lagi !

Last Updated ( Friday, 13 August 2010 10:41 )  

Log In

exsas help desk