You are here: Home News Suami Seha Meninggal - Harian Metro (2 Mei 2007)

Exsas - Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS Pahang

Suami Seha Meninggal - Harian Metro (2 Mei 2007)

E-mail Print PDF

Oleh Nor Akmar Samudin - Harian Metro - 2 Mei 2007

Menghembuskan nafas terakhir pagi semalam akibat barah paru-paru

SELANG enam bulan Nor Seha Abu Bakar atau Seha kembali ke rahmahtullah akibat barah, semalam suaminya, Azmi Thambi Chik, 50, pula meninggal dunia kerana menghidap barah paru-paru. Azmi menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Universiti (HU) pada jam 11 pagi. Abang Seha, Ahmad Nordin Abu Bakar, berkata pada mulanya adik iparnya itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan satu daripadanya (buah pinggang) sudah pun dibuang.

 

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, Azmi berasa tidak sedap badan lalu membuat pemeriksaan di UH dan dia disahkan menghidap kanser paru-paru tahap keempat, sama seperti Seha dulu.

 

Sejak itu, Allahyarham sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan. Apabila keadaannya semakin kritikal, dia kemudian dimasukkan semula ke UH tiga hari lalu sehinggalah meninggal dunia, semalam.

 

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumah isteri pertamanya di Setiawangsa dan akan dikebumikan selepas Asar, katanya ketika dihubungi, semalam ketika dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang, untuk menziarahi jenazah adik iparnya itu.

 

Katanya, sejak kematian Seha, anak perempuannya, Karissa Iris, 10, tinggal bersama adik Seha, Mohd Norbi Abu Bakar di Taman Kesuma, Ampang, Kuala Lumpur.

 

Azmi dan Seha berkahwin tiga tahun lalu. Ia adalah perkahwinan kedua Seha selepas bercerai dengan Chris Lund Abdullah pada 1998. Perkahwinannya dengan Chris dikurniakan dua anak, Mirsha Kyrie, 15, dan Karissa, 10. Seha meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 14 Oktober lalu. Penyanyi yang popular dengan lagu Mulanya Di Sini, menghidap barah sejak lima atau enam tahun lalu sebelum kematiannya tetapi waktu itu hanya di bahagian kakinya.

 

Ketika Seha sedang menghadapi hari-hari terakhirnya, dia ditemani Azmi. Allahyarhamlah yang banyak memberikan kata semangat dan peransang untuk sihat walaupun ketika itu sedang bertarung dengan penyakit yang dihidapinya. Ketika hayatnya, Azmi menyifatkan Seha seorang yang tabah dan tidak pernah mengeluh atau merintih. Azmi juga pernah membawa Seha menghadiri sesi kaunseling bersama ustaz sebelum menjalani rawatan kimoterapi.

 

Apabila keadaannya semakin lemah dan kimoterapi itu tidak memberi kesan kepada penyakitnya itu, doktor membiarkan mereka berdua dalam bilik rawatan. Waktu itu doktor juga tidak dapat buat apa-apa lagi. Azmi setia menemani Seha sehinggalah bekas penyanyi kumpulan Freedom itu menghembuskan nafas terakhirnya sambil membisikkan kalimah syahahat ke telinga Seha.

 

Kini Azmi pula pergi menyahut panggilan Ilahi. Pasti pada penghujung hayatnya, Azmi terkenangkan arwah isterinya itu, namun Allah Maha Berkuasa kerana Seha pergi dulu daripadanya.

 

Semoga kedua-dua insan itu diletakkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

 

Last Updated ( Wednesday, 14 April 2010 09:10 )  

Log In