You are here: Home Exsas In The News Stimbot, gril segar

Exsas - Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS Pahang

Stimbot, gril segar

E-mail Print PDF

Oleh : Norainon Othman : Harian Metro : 6 Mac 2011

PUAS mencari stimbot dan gril di Rawang, terutama yang berhawa dingin, tetapi sukar menemuinya. Menampung kekurangan yang ada, Sharifah Sham Syed Sofi mengambil keputusan membuka restoran stimbot dan gril di Taman Bayu Permai, Rawang.

Beroperasi sejak Julai 2010, Selera House Steamboat ’n Grills menawarkan bufet dengan kadar harga berpatutan merangkumi stimbot, barbeku panggang, aiskrim, pencuci mulut dan buah iaitu RM19.90++ pada hari biasa dan RM24.90++ pada hujung minggu. Selain bufet, turut disediakan ala carte dan set stimbot serta stimbot dan gril.

Untuk stimbot, aneka pilihan disediakan untuk pelanggan memilih sendiri mengikut selera, misalnya ayam, daging, udang, sotong, kerang, ketam dan ikan serta bahan yong tauhu.

Melengkapkan sajian, pilihan sayuran ialah kangkung atau bayam manakala untuk mi, pelanggan boleh memilih mi yee, mihun, mi kuning atau jika suka, boleh juga dimakan dengan nasi.

Bahan perap lebih sesuai untuk dipanggang dan untuk menikmati hidangan itu, pilihan ditawarkan Selera House Steamboat n Grills ialah ayam dan daging dengan perasa lada hitam, barbeku, java, kari dan tandoori.

Pada hujung minggu, ada tambahan menu sotong dan ketam serta ikan diperap dengan ramuan manakala untuk cicah, pelanggan boleh memilih sama ada sos lada hitam, sos yong tauhu dan sos Thai.

“Stimbot dan gril menjadi hidangan kegemaran kami sekeluarga. Bagaimanapun, kesukaran mencari stimbot dan gril milik pengusaha Islam di Rawang memberi idea kepada kami untuk membuka restoran bagi memenuhi permintaan peminat stimbot dan gril beragama Islam.

“Kami bukan saja menggunakan bahan mentah segar untuk stimbot dan gril, tetapi juga memastikan rempah ratus untuk perapan daripada bahan segar, selain tidak menggunakan bahan perasa (monosodium glutamate).

“Ikan ialah menu terbaru kami untuk stimbot dan gril. Ia disediakan bagi memenuhi permintaan pelanggan kerana ada yang tidak makan ayam dan daging. Ramuan untuk perapan ialah idea saya. Untuk kuah stimbot pula, pelanggan boleh memilih tom yam atau sup,” kata Sharifah.

Untuk menu ala carte, hidangan menarik ialah sup yong tauhu tom yam. Ia gabungan antara sup yong tauhu dengan tom yam.

Menu itu disediakan kerana Sharifah sebelum ini biasa menikmati yong tauhu dengan kuah sup tetapi kini sukar menemuinya, lalu menawarkan hidangan itu di restoran miliknya.

“Jika yong tauhu biasanya dimakan dengan sos hitam, yong tauhu gaya Johor pula dimakan dengan kuah sup. Jadi saya cuba sediakan yong tauhu ala Johor di sini. Bagaimanapun, ada pelanggan sukakan sup tom yam, menyebabkan saya rangkum kedua-duanya menjadi menu sup yong tauhu tom yam.

“Ia dihidang dalam mangkuk kerana pelanggan boleh merasai sup dengan tom yam tetapi jika ia terus dimasak atas dapur stimbot, tentu rasanya bercampur dan tidak dapat menikmati rasa seperti diinginkan,” katanya.

Sharifah berkata, mengadap hidangan stimbot dan gril lazimnya dalam suasana santai bersama keluarga. Sehubungan itu, hiasan dalaman dan susun atur restoran dititikberatkan iaitu mesra keluarga kerana pelanggan biasanya datang secara berkumpulan atau sekeluarga.

Konsep bufet stimbot dan gril dengan pilihan sup ayam atau tom yam didatangkan dengan pilihan pakej air RM2.90. Pelanggan boleh makan dan minum air, aiskrim dan pencuci mulut seberapa banyak yang mereka mahu.

Puas menikmati stimbot dan gril, penyegar tekak yang boleh dicuba ialah jus rambutan dan nanas. Ia sesuai untuk mereka yang sukakan dua jenis buahan dalam satu jus. Untuk menyegarkan badan dan perut, pelanggan boleh memesan teh serai.

Comments (1)
Last Updated ( Wednesday, 06 April 2011 17:14 )  

Log In

exsas help desk