Oleh SARAH NADLIN ROHIM : Utusan Malaysia : 8 Disember 2010
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
PETALING JAYA 7 Dis. - ''Saya ingin menjadikan Janda Baik, Pahang sebagai salah satu pusat pelancongan tarikan di Malaysia selepas Cameron Highlands,'' kata Ketua Pegawai Eksekutif Cherengin Hills Sdn. Bhd. (Cherengin Hills), Mohd. Fauzi A. Latif.
Katanya, Janda Baik mempunyai potensi tinggi untuk dibangunkan sebagai pusat peranginan tanah tinggi terbaik di negara ini kerana lokasi dan alam semula jadi yang terdapat di situ.
''Kedudukan Janda Baik yang berhampiran dengan Kuala Lumpur merupakan tarikan utama terutama bagi penghuni bandar yang inginkan kedamaian dan menikmati suasana hutan hujan tropika yang mendamaikan.
''Selain itu, tarikan lain yang terdapat di sini adalah beberapa sungai dan air terjun menarik, dusun buah-buahan, kolam ikan dan berbagai-bagai tarikan kepada pencinta alam sekitar,'' jelasnya.
Tambah Mohd. Fauzi, kedamaian dan hutan hujan tropika di Janda Baik masih dara yang tidak di cemari dengan pembangunan.
''Bagi Cherengin Hills, kami telah melabur sebanyak RM30 juta untuk membangunkan Cherengin Hills Convention & Spa Resorts bagi memenuhi permintaan pencinta alam.
''Semasa pembangunan pusat peranginan tersebut, kami telah memastikan hutan sekitar tidak dirosakkan dan ia mengikut spesifikasi pembangunan dibenarkan,'' katanya.
Selain itu, objektif pembinaan pusat peranginan ini juga adalah bagi membantu masyarakat setempat untuk mendapat pekerjaan dan membuka peluang kepada mereka untuk berniaga.
Mohd. Fauzi berkata, pihaknya telah menyediakan tapak medan selera yang memberikan penduduk tempatan berniaga di situ dan menyediakan juadah makanan penduduk tempatan bagi menarik minat pengunjung.
Kakitangan pusat peranginan juga terdiri daripada penduduk tempatan, katanya.
Cherengin Hills Convention & Spa Resorts terletak di tanah berkeluasan 4.4 hektar di antara sempadan Pahang dan Selangor.
Pusat peranginan itu mempunyai 136 bilik yang dilengkapi dengan kemudahan terkini dan turut mempunyai kolam renang serta kemudahan persidangan dan mesyuarat.
Bergerak ke hadapan, Mohd. Fauzi berkata, Cerengin Hills ingin menjadi salah satu pemain industri yang disegani.
''Perancangan saya juga akan melibatkan perkembangan perniagaan ke luar negara seperti di London, Unitek Kingdom, Australia.
''Kami juga turut mempromosi pelancongan halal dan mungkin akan menembusi pasaran Korea pada tahun hadapan,'' katanya.


